Anda di sini!
Utama > Belia > 300 Mahasiswa Dari Lima Universiti Awam Dekati Masyarakat Setempat

300 Mahasiswa Dari Lima Universiti Awam Dekati Masyarakat Setempat

Tiga ratus mahasiswa membabitkan empat universiti awam dan Kolej Komuniti, berpeluang merasai kehidupan masyarakat kampung sempena Program Libat Sama bersama Komuniti Berfokus dalam Parlimen Bagan Datoh selama seminggu, bermula ahad.

Program khidmat masyarakat anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bagan Datoh itu merupakan usaha memberi kesedaran sosial kepada mahasiswa supaya dapat menanam dan mengamalkan semangat perpaduan, permuafakatan dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Pengarah Pembangunan Mahasiswa Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Ahmad Khalid berkata program kali keenam ini merupakan yang terbesar diadakan membabitkan penyertaan pelajar berbilang kaum.

Seramai 180 pelajar UTM cawangan Kuala Lumpur dan Johor menyertainya manakala masing-masing 30 wakil dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar serta Kolej Komuniti seluruh Perak.

“Lebih 100 keluarga angkat dari empat mukim iaitu Bagan Datoh, Rungkup, Hutan Melintang dan Teluk Baru menyertai program ini dan setiap keluarga angkat akan menerima dua hingga lima pelajar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat di sini hari Ahad.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri yang juga ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Menurut Ahmad, pelbagai pengisian disusun sempena program itu antaranya menjalankan aktiviti gotong-royong bersama penduduk kampung, mengadakan kelas tuisyen dan motivasi kepada pelajar sekolah, forum perdana serta program diskusi belia.

Jelasnya program yang amat bermanfaat itu diwujudkan sebagai matlamat universiti untuk melahirkan mahasiswa mengenali budaya dan adat serta corak hidup masyarakat setempat, seterusnya dapat memanfaatkan ilmu bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada orang lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikan majlis penutup program itu pada 10 April.

Leave a Reply

Top