Anda di sini!
Utama > Hiburan > Bergelar Pengarah Ajar Sharnaaz Ahmad Erti Kesabaran

Bergelar Pengarah Ajar Sharnaaz Ahmad Erti Kesabaran

Pelakon Sharnaaz Ahmad memberitahu pengalaman pertama kali bertindak sebagai pengarah dan penerbit menerusi projek telefilem sulungnya berjudul Lukisan Cinta banyak mengajarnya erti kesabaran.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 31, mengakui cabaran duduk di kerusi pengarah tidak mudah apatah lagi ia adalah kali pertamanya namun memberitahu ia adalah pengalaman berharga buat dirinya.

“Cabaran memang banyak tambahan pula saya bukan sahaja bertindak sebagai penerbit dan pengarah malah turut berlakon dalam telefilem berkenaan.

“Tetapi dalam tekanan itu saya belajar untuk menjadi lebih tenang dan bersabar dalam banyak hal dan Alhamdulillah ia berjalan lancar,” katanya.

Lukisan Cinta turut menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Azhan Rani dan Normah Damanhuri.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia juga kini lebih memandang tinggi terhadap pekerja dibelakang tabir terutamanya pengarah yang sebenarnya tunjang penting dalam memastikan sesuatu projek itu berjalan lancar.

Jelasnya, pengalaman berada di kerusi pengarah banyak memberinya pengajaran tentang ketelitian selain perlu peka dalam pelbagai aspek sesuatu produksi.

“Saya pandang tinggi kepada mereka kerana sebenarnya susah berada di tempat mereka kerana terlalu banyak perkara perlu diberi perhatian.

“Ia bukan sahaja tentang kesabaran dan perlu peka tetapi kena tenang dalam menghadapi masalah yang sentiasa ada.

“Bila berada di belakang tabir saya sedar perlu bertenang jika timbul masalah kerana dengan cara itu sahaja saya dapat mencari penyelesaian,” ujarnya.

 

Leave a Reply

Top