Anda di sini!
Utama > Terkini > 40 Tahun Dalam Politik Najib Faham Denyut Nadi Belia

40 Tahun Dalam Politik Najib Faham Denyut Nadi Belia

mh online

 

Aktif di media sosial facebook, twitter dan blog, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat dekat dengan rakyat terutama golongan belia yang sering menggunakan medium itu untuk mendapatkan maklumat dan berkomunikasi.

Pengalaman beliau menggalas tanggungjawab pada usia muda di awal pembabitannya dalam politik, Najib sememangnya memahami kehendak golongan belia dalam arus pembangunan negara.

Beliau menjadi timbalan menteri termuda di Malaysia ketika berusia 25 tahun apabila dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos mulai 27 Julai, 1978 hingga 5 Sept, 1980 dan juga Menteri Besar termuda pada usia 29 tahun apabila dilantik Menteri Besar Pahang pada 4 Mei, 1982 dan memegang jawatan itu sehingga 10 Ogos, 1986.

Ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan (20 Mei 1987 hingga Oktober 1990), beliau menjadi pemimpin Malaysia pertama menerima anugerah ‘Special Testimony’ Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Nov 1989, susulan sumbangannya terhadap pembangunan belia di peringkat antarabangsa.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam pada 3 April, 2009, Najib memperkenalkan pelbagai program dan insentif dalam membantu golongan belia termasuk mewujudkan Dana Usahawan Muda berjumlah RM50 juta dikendalikan SME Bank; rebat “one-off” RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G serta memperkenalkan Skim Perumahan Belia yang ditawarkan kepada 20,000 pasangan belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun.

Antara langkah terpenting diambil kerajaan ialah melancarkan Dasar Belia Malaysia pada 15 Mei, 2015, yang lebih komprehensif bagi menggantikan Dasar Pembangunan Belia Negara 1997 untuk pembangunan belia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Dasar Belia Malaysia yang bakal dilaksanakan mulai 2018 itu juga menetapkan had umur belia dari 15 tahun hingga 30 tahun, berbanding 15 tahun hingga 40 tahun sebelum ini selain bakal memaksimumkan potensi setiap belia sebagai pekerja mahir.

Hasrat itu diperkukuh menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) 2016-2020 yang dibentangkan enam hari kemudian yang menekankan pengupayaan, pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.

Kerajaan pimpinan Najib juga telah mengumumkan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

1Malaysia Youth City akan mempunyai ekosistem komprehensif, bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan di samping menikmati kemudahan rekreasi, perumahan, termasuklah rumah transit. Najib kemudiannya mengumumkan Tanjung Malim sebagai projek perintis bandar raya belia.

Golongan belia juga disediakan platform bagi membincangkan isu dan idea serta menggubal dasar melalui Parlimen Belia Malaysia dengan persidangan julung kali selama dua hari diadakan di Dewan Rakyat pada 10 dan 11 Jan 2015.

Bukan sekadar perbincangan olok-olok, semua perkara yang dibangkitkan semasa persidangan itu diproses dan laporan mengenainya dikemukakan kepada Kabinet sebelum diserahkan kepada kementerian berkenaan untuk tindakan lanjut.

Najib juga mencetuskan program 1Malaysia For Youth (iM4U) pada Julai 2012 untuk menyemai semangat kesukarelawan dalam kalangan 12.5 juta belia di Malaysia serta mewujudkan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) dengan RM100 juta disalurkan dalam bentuk geran kepada pertubuhan belia, badan bukan kerajaan serta kumpulan belia yang tidak menjadi anggota mana-mana pertubuhan untuk menjalankan program sukarelawan.

Leave a Reply

Top