Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 31 Lesen Syarikat Ejen Kastam Digantung

31 Lesen Syarikat Ejen Kastam Digantung

KUCHING, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengantung lesen 31 syarikat ejen Kastam setakat bulan ini kerana didapati terlibat dalam penyeludupan atau kerap melakukan kesalahan berat, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata kesalahan berat berkenaan seperti dagangan diikrar tidak sama dengan dagangan sebenar, menukar atau meminda dokumen atau tandatangan palsu, memalsukan dokumen, melakukan pelbagai kesalahan menyeludup, mengemukaan Resit Rasmi Kastam (COR) palsu kepada pengimport dan membawa keluar dagangan yang tidak diikrar atau tidak lulus Kastam.

Kini terdapat hampir 3,000 ejen Kastam di seluruh negara dan beliau memberi amaran kepada semua ejen supaya mematuhi setiap peraturan atau berisiko diambil tindakan termasuk digantung lesen, katanya pada sidang media bersempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia Ke-83 di sini, hari ini.

Subromaniam juga berkata dalam tempoh 35 hari tahun ini beberapa kes penyeludupan telah dikesan dilakukan melalui pengikraran yang tidak betul dengan tujuan untuk membawa masuk barang-barang larangan.

Baru-baru ini dalam kes rampasan dadah, barangan (dadah berkenaan) telah diikrarkan sebagai garam dan juga kes rokok yang diisytiharkan di dalam manifes import sebagai ‘sundry goods’, langsir dan sebagainya,” tambah beliau.

Subromaniam, kes penyelewengan dan penyeludupan dagangan begitu kerap berlaku dan menjadi cabaran kepada JKDM dan sehubungan itu jabatan telah mengambil beberapa langkah untuk membendung kegiatan itu terutamanya ke atas barang yang berduti tinggi seperti rokok, minuman keras, kenderaan, jubin dan tayar.

Katanya, menerusi dasar baharu ejen yang diperkenalkan, ejen Kastam perlu menjalankan ‘ketekunan wajar’ ke atas pelanggan masing-masing, iaitu tanggungjawab mengenali dan mengetahui pengimport/pengeksport serta barangan yang akan dihantar.

“Ini termasuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengikraran kastam dan mengetahui dengan jelas maklumat pengikraran yang dibuat dalam transaksi pengimportan dan pengeksportan,” katanya.

Katanya pada tahun lalu JKDM berjaya menyelamat hasil bernilai lebih RM1 bilion menerusi kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan beberapa komoditi termasuk kenderaan, rokok dan minuman keras.

Sementara itu dalam ucapannya, Subromaniam berkata pada tahun ini kerajaan menyasarkan unjuran hasil sebanyak RM60.96 bilion , iaitu peningkatan empat peratus daripada jumlah hasil yang dikutip pada tahun 2017.

Beliau berkata pada tahun 2017 JKDM telah memungut sebanyak RM58.82 bilion dan daripada jumlah itu cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah menyumbang sebanyak RM4.03 bilion atau 75 peratus daripada kutipan hasil jabatan.

Leave a Reply

Top