PUTRAJAYA, Tiga tokoh tersohor penerima anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran ‘Tun’, mengetuai senarai 1,518 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini.

Tiga tokoh iaitu Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan dua bekas menteri kabinet iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas.

Samy Vellu, yang kini Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur, adalah bekas Menteri Kerja Raya manakala Michael Chen merupakan bekas Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru.

Tiga individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Penerima augerah itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Seramai 48 individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Penerima PSM lain termasuk Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Aziah Ali, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Che Mohd Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Turut dianugerahkan dengan anugerah sama ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Dalam pada itu, seramai 51 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ antaranya Hakim Mahkamah Tinggi Stephen Chung Hian Guan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Azam Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd, Datuk Yasmin Mahmood, Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda dan Pengarah Daihatsu Motor Co., Ltd, Shigeharu Toda.

Jaguh badminton serta skuasy negara, Datuk Lee Chong Wei serta Datuk Nicol Ann David, turut diberikan anugerah PJN tersebut.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan Jabatan Perdana Menteri Dr Farizah Ahmad adalah antara lapan penerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Di Raja (P.S.D) yang turut membawa gelaran Datuk.

Penerima lain ialah Pengerusi Eksekutif Waz Lian Group Ng Soon Hong; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Prakash Chandran Madhu Sudanan; Pengerusi Eksekutif Negara Mining Sdn Bhd, Lam Yin Chon dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Norazman Ayob.

Selain itu, sebanyak 26 individu dikurniakan darjah kebesaran Johan Mangku Negara (J.M.N) manakala seramai 86 penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (J.S.M).

Seramai 250 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (K.M.N) termasuk lima individu yang terlibat dalam bidang sukan.

Mereka adalah Ketua Jurulatih Kebangsaan Atlet Olahraga Paralimpik Negara R. Jaganathan, atlet paralimpik bagi acara pecut 100m Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, pelumba basikal trek Mohd Azizulhasni Awang, atlet paralimpik untuk acara lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet paralimpik untuk acara lompat jauh Abdul Latif Romly.

Sementara itu, Bintang Kesatria Setia Di Raja (K.S.D) dianugerahkan kepada 11 penerima manakala Bintang Ahli Mangku Negara (A.M.N) dikurniakan kepada 412 penerima.

Seramai 581 penerima pula dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) dan 37 penerima Bintang Bentara Setia Di Raja (B.S.D).

Selain itu, dua penerima Panglima Gagah Berani (P.G.B) ialah bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Dr. Leong Chee Woh (B) dan bekas Komander Skuadron, Pasukan Gerakan Khas Md Radzi bin Md Isa (B).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *