KOTA KINABALU, Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi membebaskan tiga ahli politik yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah dengan jaminan agensi itu, selepas tempoh sambungan reman tiga hari sejak kelmarin tamat hari ini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dan RM30,000 deposit.

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dibebaskan dengan jaminan RM20,000 tanpa deposit.

Sebelum ini, ketiga-tiganya direman lima hari sejak 10 Oktober lalu selepas memberi keterangan dan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Sabah.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara 2009 hingga 2015.

Mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret 1 dan keluar pada jam 11 pagi tadi.

Jamawi diwakili peguam Arthur Bonnie, Shahlan Jufri, Mohd Azhier A Farhan Arifin, Jafar Esteben dan Razali Razi manakala peguam Hamid Ismail mewakili Ariffin.

Mohd Azis diwakili peguam Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat, Jaikol Situn dan Darell Leiking, manakala SPRM oleh Pegawai Pendakwaan SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

Sabtu lalu, seorang ahli perniagaan berumur 52 tahun yang sebelum ini disambung reman empat hari sejak Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000, dengan deposit RM100,000.

Ahli perniagaan itu ditahan bersama Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony pada 5 Oktober lalu sebelum kedua-duanya direman lima hari sehingga Selasa lalu.

Peter dibebaskan Jumaat lalu di Hospital Pakar Damai, di sini, dengan jaminan SPRM berjumlah RM50,000 selepas tempoh sambungan tahanan reman tiga hari terhadapnya berakhir.

Setakat ini, dua masih ditahan SPRM iaitu ahli perniagaan, Hamid Apdal, 52, yang juga adik Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, manakala seorang lagi ialah menantu Hamid.

Mereka masing-masing direman hingga Jumaat ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *