Anda di sini!
Utama > Sukan > 3 Pasukan Dapat Lesen Kelab FAM

3 Pasukan Dapat Lesen Kelab FAM

Tiga pasukan bola sepak iaitu Kedah, Kelantan dan Melaka United akhirnya berjaya mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

Setiausaha Agung FAM , Datuk Hamidin Mohd Amin berkata lesen yang diberikan kepada tiga kelab ini hanya merupakan lesen FAM namun ia tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Permohonan mereka yang sebelum ini ditolak kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan namun telah diluluskan oleh Badan Rayuan Pelesenan Kelab FAM pada mesyuarat yang diadakan 27 Okt,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata dua lagi kelab iaitu Felda United FC dan Sarawak tidak diberi lesen selepas didapati masih gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan, meskipun telah diberikan tempoh lanjutan.

Enam kriteria utama tersebut ialah iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

FAM sebelum ini mengumumkan bahawa sebanyak tujuh daripada 12 kelab yang beraksi pada Liga Super musim ini iaitu Johor Darul Ta’ zim (JDT), Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team telah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen FAM.

Di samping itu, JDT, Pahang, PKNS FC dan Selangor turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC musim depan, jika layak.

Kelulusan berkenaan diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos lalu.

Lesen FAM dan AFC yang dikeluarkan itu sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan.

Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

Leave a Reply

Top