Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 216,825 Wanita Telah Mendapat Bantuan TEKUN Sejak 1998

216,825 Wanita Telah Mendapat Bantuan TEKUN Sejak 1998

PUTRAJAYA, Separuh daripada peruntukan RM500 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dalam Bajet 2018 kini dikhaskan untuk membantu meningkatkan ekonomi usahawan wanita.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata arahan yang dikuatkuasa bermula tahun ini itu dibuat selaras dengan pengumunan kerajaan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Beliau berkata sebagai institusi yang menyediakan pembiayaan mikro dan perkhidmatan sokongan pembangunan usahawan, TEKUN perlu terkedepan dan menjadi tonggak bagi memperkasa wanita dalam soal keupayaan ekonomi dan kewangan.

“Orang mungkin melihat pemerkasaan wanita hanya dalam aspek tuntutan penglibatan 30 peratus golongan itu dalam membuat dasar tetapi bagi kementerian ini, skop itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

“Memperkasa wanita juga membawa maksud membangunkan kebebasan kewangan dan ekonomi kaum itu sekali gus mengeluarkan mereka daripada situasi hanya bergantung kepada orang lain…dan ini peranan yang boleh dimainkan kementerian melalui TEKUN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih ‘TEKUN Pay’ di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata keutaman pinjaman kepada kaum wanita juga dibuat selepas mengambil kira rekod pembayaran golongan itu yang lebih baik dan teratur berbanding usahawan lelaki.

Sejak ditubuhkan pada 1998 sehingga kini, seramai 216,825 wanita telah mendapat pembiayaan TEKUN berbanding 185,434 usahawan lelaki.

Mengenai aplikasi mudah alih TEKUN Pay, Ahmad Shabery berkata sejak diperkenal pada Julai tahun lepas, sebanyak 2,391 aplikasi telah dimuat turun dengan sejumlah RM197,000 berjaya dikutip melalui penggunaan aplikasi tersebut.

Dibangunkan dengan kerjasama RHB Islamic Bank, aplikasi TEKUN Pay yang menawarkan kemudahan menyemak maklumat akaun pembiayaan dan membuat bayaran balik pembiayaan itu boleh dimuat turun melalui Android Playstore dan Apple ios.

Leave a Reply

Top