Mogok oleh kakitangan syarikat penerbangan terbesar di Taiwan, China Airlines (CAL) menyebabkan 20,000 penumpang terkandas, Jumaat.

Ini adalah tindakan perindustrian pertama yang dilancarkan oleh krew kabin dalam sejarah penerbangan di pulau ini.

Syarikat penerbangan itu terpaksa membatalkan semua penerbangan keluar dari dua lapangan terbang utama di ibu negara, Taipei, kecuali perkhidmatan sewa khas untuk Presiden Tsai Ing-wen yang berlepas untuk lawatan negara ke Panama dan Paraguay, pagi Jumaat.

Ramai penumpang beratur di kaunter CAL di lapangan terbang di Songshan dan Taoyuan pagi Jumaat kerana syarikat penerbangan itu cuba untuk mendapatkan penerbangan lain untuk mereka.

Beratus-ratus atendan penerbangan mengadakan mogok dengan hanya duduk di luar ibu pejabat firma itu di Taipei semalaman, membantah keperluan baharu yang memerlukan mereka melaporkan diri untuk bekerja di Taoyuan yang terletak di pinggir Taipei, bukannya di pusat bandar Songshan.

Mereka berkata langkah itu dibawa masuk ‘secara unilateral’.

“(Ia) tekanan kepada kita untuk bekerja lebih lebih masa dan akan menjejaskan keselamatan penerbangan secara serius,” kata Kesatuan Atendan Penerbangan Taoyuan dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Kesatuan itu juga menyeru beberapa pembaikan lain, termasuk gaji berganda untuk mereka yang berkerja pada hari cuti kebangsaan.

Mogok rasmi bermula pada tengah malam Khamis. Penunjuk perasaan terus duduk di luar pejabat CAL pada Jumaat.

Presiden dan pengerusi CAL telah digantikan pada Khamis selepas mengemukakan peletakan jawatan mereka sebelum mogok dilancarkan.

Pengerusi baharu, Ho Nuan-hsuan dijangka memasuki pejabat pada Jumaat apabila pelantikannya secara rasmi diluluskan oleh lembaga pengarah.

Ho, dilantik oleh Kementerian Pengangkutan, yang merupakan pemegang saham terbesar CAL, dilaporkan memihak kepada permintaan kesatuan.

Dalam satu kenyataan, Jumaat, CAL menggesa kerajaan untuk campur tangan dalam usaha mengakhiri mogok itu dengan lancar, menyatakan bahawa kesatuan itu tidak bersedia untuk berunding.

Ia menyifatkan mogok itu sebagai ‘serangan mengejut yang tidak dibenarkan’ di syarikat penerbangan itu.

Tsai sempat mengucapkan terima kasih kepada atendan penerbangan dalam ucapan yang singkat sebelum berlepas dan berikrar kerajaan akan mempertahankan hak-hak pekerja mereka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *