KOTA KINABALU, Dua janda berusia 26 tahun dan 36 tahun ditahan selepas polis menemui lebih satu kilogram syabu yang disembunyikan di bawah lantai rumah mereka di Kampung Pondo, Pulau Gaya, kelmarin.

Kedua-dua wanita itu dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadah dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit di rumah atas air berkenaan.

Suspek berusia 36 tahun yang dikenali dengan gelaran ‘Hajah’ itu memiliki taraf penduduk tetap, manakala rakannya tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, menyerbu rumah mereka susulan maklumat dan risikan.

Hasil pemeriksaan mendapati semua dadah berkenaan disembunyikan di dalam tiang rumah yang diubah suai untuk menyimpan dadah.

Semua dadah yang dirampas adalah seberat 1,006.22 gram dan dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata dadah berkenaan ditemui disimpan dalam 33 paket plastik yang dipercayai untuk dijual di Pulau Gaya dan Kota Kinabalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pembekal dadah kepada kedua-dua wanita terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Chandra berkata, polis turut merampas pelbagai barangan kemas dan telefon pintar, dianggarkan bernilai RM24,000 daripada kedua-dua suspek.

Mereka kini direman tujuh hari sehingga 9 Oktober ini untuk membantu siasatan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *