Anda di sini!
Utama > Terkini > 1MDB Boleh Jadi Sumber Kekuatan BN – Annuar Musa

1MDB Boleh Jadi Sumber Kekuatan BN – Annuar Musa

mh online

Seorang penyokong kerajaan yakin isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu menjadi kekuatan baharu kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang apabila kerajaan membuktikan kepada rakyat dakwaan-dakwaan terhadap syarikat itu adalah tidak benar.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berkata kerajaan sejak dari awal telah bersungguh-sungguh untuk mematahkan pelbagai dakwaan pihak tertentu, khasnya pembangkang dengan memberikan fakta kepada setiap dakwaan dilemparkan terhadap 1MDB.

“Saya berkeyakinan, diberikan masa, urusan 1MDB dan isu 1MDB ini walaupun berat untuk kerajaan menjawab, akhirnya 1MDB inilah yang akan menjadi kekuatan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang apabila kami buktikan dakwaan-dakwaan itu adalah tidak benar,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Annuar juga yakin serangan terhadap 1MDB dibuat kerana ada pihak yang tidak mahu melihat syarikat pelaburan strategik kerajaan itu berjaya.

“Tidak pernah ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain yang ‘under public scrutiny’ macam 1MDB yang berada di bawah mikroskop Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Kita tahu kenapa 1MDB itu diserang, (kerana) kalau sebuah syarikat pelaburan strategik kerajaan itu berjaya, ia menggusarkan pembangkang,” katanya.

Bahkan, katanya langkah 1MDB melabur untuk membeli syarikat-syarikat pengeluar penjana kuasa elektrik dan memfokus kepada pembangunan hartanah di Kuala Lumpur telah menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati kerana khuatir syarikat itu mengugat status mereka.

Menyentuh mengenai wang RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Annuar mencabar mereka yang mendakwa ia adalah wang rasuah ataupun wang daripada 1MDB, tampil dengan bukti kukuh sebelum membuat tuduhan tidak berasas.

“Kalau ada bukti wang RM2.6 bilion itu wang rasuah, wang rakyat, (seharusnya) tampil bagi bukti kepada badan berwajib, tapi ini tidak. Mereka guna RM2.6 bilion ini sebagai sindiran,” katanya.

Annuar berkata dalam soal dana politik, pembangkang sekiranya benar-benar telus seharusnya menyokong untuk menwujudkan peraturan khas dalam mengisytiharkan dana politik yang diterima daripada pihak luar.

Selagi peraturan itu tidak wujud, dan selagi pembangkang tidak setuju untuk mengadakan kaedah-kaedah deklarasi, isu RM2.6 bilion dana politik BN tidak harus dipertikai oleh sesiapa pun, hujah Annuar.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top