Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 1828 MyKad Belum Dituntut Di JPN Melaka

1828 MyKad Belum Dituntut Di JPN Melaka

mh online

Sebanyak 1,828 MyKad belum dituntut di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka bagi tempoh tiga tahun sehingga hari ini, kata Pengarahnya Norazle Sulaiman.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 217 dokumen pengenalan tidak dituntut dalam tempoh tiga tahun, setahun (278 dokumen), enam bulan (250 dokumen) dan tiga bulan (1,083 dokumen).

Katanya MyKad yang dimohon perlu dituntut segera memandangkan dokumen pengenalan sementara yang diberikan hanya sah laku kira-kira tiga bulan sahaja.

“Dokumen pengenalan ini jika tidak dituntut akan menyebabkan kerajaan menanggung kerugian kerana kos menghasilkan setiap satu bukan murah, kami minta orang ramai mengambil MyKad mereka seberapa segera,” katanya.

Norazle berkata berdasarkan rekod JPN Melaka sebanyak 1,638 MyKad dilaporkan hilang kali pertama bagi tempoh 15 Okt hingga 31 Dis tahun lepas.

Sehubungan itu, Norazle menasihatkan pemegang MyKad supaya menjaga dokumen pengenalan agar tidak hilang bagi mengelak dikenakan denda selain disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya denda RM100 akan dikenakan bagi kehilangan MyKad kali pertama, RM300 bagi kehilangan kali kedua manakala kehilangan kali ketiga pula akan dikenakan RM1,000 selain siasatan dijalankan terhadap pemegang MyKad itu.

“MyKad sangat penting bagi seorang warganegara Malaysia kerana ia merupakan pengenalan diri selain memudahkan mereka berurusan dengan mana-mana agensi yang memerlukan dokumen pengenalan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Norazle berkata seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditahan kerana memiliki dokumen pengenalan sementara disyaki mengandungi maklumat palsu di JPN cawangan Pusat Transformasi Bandar di Jalan Hang Tuah pada 24 Jan lepas kira-kira 10 pagi.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki berusia 37 tahun itu mengaku tinggal di negara ini sejak 12 tahun lepas tanpa dokumen perjalanan sah dan membeli dokumen pengenalan sementara daripada seorang rakan dengan harga RM1,000 di Muar, Johor pada 2012.

Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan, katanya.

Leave a Reply

Top