Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > “Kami Tidak Akan Tunduk Kepada Tekanan”

“Kami Tidak Akan Tunduk Kepada Tekanan”

“Saya tidak akan tunduk terhadap serangan berbentuk peribadi. Saya tetap bertekad untuk terus memerangi rasuah.”

Itu jawapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ketika mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan beliau terbabit dalam hubungan sulit dengan isteri orang.

“Kami tidak akan tunduk kepada tekanan. Kami akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab kami untuk memastikan negara ini bebas daripada pihak yang terbabit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Tuduhan yang dilemparkan ini adalah tindakan yang kotor dan keji, dengan niat untuk merosakkan reputasi saya dan usaha SPRM dalam memerangi rasuah,” katanya ketika diwawancara TV3, hari ini.

Dzulkifli berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, sebelum ini menasihatkan Dzulkifli supaya tetap teguh dan tidak tunduk kepada taktik sesetengah pihak bertujuan untuk melemahkannya.

Tahun lalu, SPRM bertindak ke atas pegawai kanan Jabatan Air Sabah dan menemui semula lebih daripada RM50 juta wang tunai yang dipercayai diselewengkan, sekali gus menjadi rampasan terbesar di negara ini.

Tiga orang telah didakwa di mahkamah setakat ini berkaitan kes pengubahan wang haram, yang juga dikenali sebagai skandal Sabah Watergate.

Sehingga Julai tahun ini, SPRM telah menyiasat 56 kes di Sabah, yang sebahagian besarnya menangani tuntutan palsu untuk projek yang dikatakan tidak pernah dijalankan.

Antara kes berprofil tinggi yang baru-baru ini disiasat oleh SPRM ialah siasatan ke atas penyelewengan sehingga RM1.5 bilion dalam peruntukan projek persekutuan untuk golongan miskin di Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

SPRM turut menahan dua adik Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kes terbabit dan dijangka membuat lebih banyak tangkapan.

Leave a Reply

Top