Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 15 Wanita Warga Asing Langgar Syarat Pas Lawatan Sosial Ditahan

15 Wanita Warga Asing Langgar Syarat Pas Lawatan Sosial Ditahan

mh online

Lima belas wanita rakyat asing ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bersosial bersama pelanggan untuk mendapatkan ‘upah’ di sebuah medan selera di Lorang Madras di sini, Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 11.30 malam itu terdiri daripada 12 wanita dari China dan tiga Vietnam berumur antara 23 hingga 47 tahun.

“Aktiviti kurang sihat itu dikhuatiri boleh mendorong kepada aktiviti maksiat dan polis telah memantau kegiatan itu dalam satu tempoh masa sebelum membuat tangkapan,” katanya di sini Rabu.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun iaitu penjaga premis itu dan merekod keterangan empat pelanggan lelaki tempatan berumur 30-an bagi membantu siasatan.

Sementara itu Mior Faridalatrash berkata dalam operasi malam tadi juga, polis merampas dua mesin simulator yang beroperasi tanpa lesen dan mengenakan saman kepada pengusaha pusat simulator di Lorong Madras itu.

“Hasil pemeriksaan, kami dapati pengusaha belum memohon lesen hiburan tambahan ke atas dua mesin permainan baling damak itu,” katanya.

Beliau berkata polis bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sentiasa memantau pusat-pusat simulator supaya tidak dimanipulasi atau disalah guna untuk tujuan perjudian atau melanggar syarat-syarat lesen seperti membenarkan remaja bawah 18 tahun memasuki pusat-pusat itu.

Leave a Reply

Top