Anda di sini!
Utama > Belia > 126 Sekolah DLP Dilululuskan

126 Sekolah DLP Dilululuskan

Kementerian Pendidikan hari ini meluluskan tambahan sebanyak 126 sekolah yang akan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) minggu depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang melihat kelulusan terbabit mampu memperkasakan sistem pendidikan yang dimahukan ibu bapa.

“Pada Disember lalu, kita menerima permohonan sebanyak 214 sekolah yang mahu melaksanakan DLP tetapi hanya 88 buah sahaja yang diluluskan.

“Namun pada hari ini, saya ingin memaklumkan baki sebanyak 126 sekolah yang tidak diluluskan dibenarkan dan diluluskan untuk melaksanakan DLP.

“Saya berpendapat apabila semua sekolah memenuhi empat syarat pelaksanaan DLP dengan mendapat sokongan ibu bapa, maka ia wajar diluluskan dan saya yakin sekolah yang sebelum ini tidak diluluskan hanya menghadapi sedikit masalah teknikal.

“Kelulusan ini menjadikan keseluruhan sekolah yang akan melaksanakan DLP sebanyak 1,429 buah, iaitu 1,215 buah sudah melaksanakan sejak 2016 dan 2017, manakala tambahan yang baharu ialah 214 buah, termasuk 88 buah yang diluluskan sebelum ini,” katanya selepas melawat seorang penduduk di Perumahan Awam Kampung Baru, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada sekolah yang baru diluluskan ini akan berdepan masalah, Mahdzir berkata, pihaknya yakin apabila semua sekolah ini memohon untuk melaksanakan DLP, maka ia sudah pastinya menunjukkan sekolah terbabit sudah bersedia.

“Malah paling utama ibu bapa yang mahukan DLP dilaksanakan sekolah anak mereka. Kita mencatatkan peningkatan setiap tahun dan ini jelas menunjukkan ia mendapat permintaan tinggi ibu bapa.

“Kebanyakan ibu bapa sangat meminati DLP kerana ia mampu memberi peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris sekali gus membolehkan anak mereka pergi jauh untuk meneroka dunia ilmu,” katanya.

Leave a Reply

Top