Dua belas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) sepakat untuk memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan datang sebagai tanda protes terhadap pengusiran ketua pembangkangnya, Datuk Nozula Mat Diah.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, yang mewakili 12 ADUN BN itu, berkata keputusan itu dicapai berikutan tindakan Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub mengusir Nozula, yang juga ADUN Paloh, semasa persidangan dewan pada rabu.

“Walaupun Nozula masih belum pulih sepenuhnya dari serangan angin ahmar, (namun) beliau tetap gagahkan diri hadir ke dewan demi menyampaikan suara rakyat yang diwakilinya dan tindakan Speaker untuk tidak bertolak ansur dan mempertimbangkan keadaan kesihatannya serta bertegas mengusir beliau dari dewan tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Md Alwi berkata persidangan DUN dan sesi perbahasan merupakan satu-satunya pentas dan ruang kepada ADUN untuk menyampaikan pandangan dan meluahkan sebarang isu termasuk keluhan daripada rakyat yang diwakili mereka.

Beliau berkata sikap tidak demokratik yang diamalkan menggambarkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS sangat takut untuk menghadapi keluhan dan suara rakyat secara berdepan.

“Yang Berhormat Paloh hanya ingin menyampai keluhan rakyat Gua Musang terhadap kebimbangan mereka apabila bukit ditarah, balak ditebang dan Hutan Simpan Kekal diteroka sehingga 200,000 hektar.

“Beliau juga ingin menyampaikan kebimbangan penduduk Orang Asli di Gua Musang terhadap cadangan pembinaan Empangan Nenggiri yang disebut oleh Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dalam ucapan belanjawan pada hari pertama persidangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Speaker, Abdul Latiff Abdul Rahman yang mengatakan Nozula hanya melakukan ‘lakonan air mata’ dan kenyataan tersebut dilihatnya sangat biadab.

Nozula diarah keluar dewan oleh Speaker berikutan keengganannya duduk setelah diarahkan tidak mengganggu penggulungan oleh Exco Kerajaan Negeri.

Persidangan DUN Kelantan yang bermula Isnin lepas berakhir semalam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *