Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 11 Agropreneur Muda Terima Pembiayaan MYAGROSIS

11 Agropreneur Muda Terima Pembiayaan MYAGROSIS

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini mengagihkan cek pembiayaan mikro Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS) Agropreneur Muda berjumlah antara RM10,000 hingga RM50,000 kepada 11 usahawan.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata pengagihan pembiayaan itu merupakan modal awalan bagi membantu golongan usahawan muda mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Program ini adalah untuk memupuk minat golongan muda dalam perniagaan dan secara tidak langsung akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan cek pembiayaan tersebut.

Badruddin berkata, sehingga Oktober lepas sejumlah 72 usahawan menerima pembiayaan itu yang bernilai RM2.3 juta sejak ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Disember 2015.

Antara sektor yang menerima pembiayaan itu ialah sektor industri asas tani, tanaman secara konvensional, trak makanan dan pemasaran buah-buahan tempatan.

Sementara itu, Khalid Awaludin, 29, yang menjalankan perniagaan biskut dan pastri merancang untuk menambah baik kedai dan berusaha mendapatkan permohonan Sijil Pengesahan Halal dan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Permohonan tersebut bagi memastikan produk biskut yang saya usahakan mempunyai kualiti dan keyakinan kepada pengguna untuk saya meluaskan pasaran ke luar negara,” katanya yang merupakan bekas graduan Kolej MSU.

Selain itu, Nurul Huda Abd Aziz, 34, merancang untuk menambah cawangan gerai masakan tengah hari di Gombak yang menerima lebih 100 pelanggan setiap hari.

“Modal yang diberikan membuat saya lebih bertanggungjawab dan bersemangat untuk saya menjalankan perniagaan pada setiap hari,” katanya.

Leave a Reply

Top