BESUT, Lebih daripada sejuta benih ikan dan udang dilepaskan di tujuh batang sungai di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata sejumlah 1,074,541 benih telah diusahakan sejak lapan tahun lalu dengan melibatkan kos RM214,000.

Beliau berkata jumlah tersebut sentiasa ditambah setiap tahun manakala pada tahun lalu sahaja sebanyak 211,322 ekor benih telah dilepaskan berbanding 179,700 ekor pada 2015.

“Pelepasan membabitkan spesies ikan asli sungai seperti kelah, lampan sungai, baung dan udang galah bagi memberi manfaat kepada nelayan darat termasuk pemancing,” katanya kepada media pada majlis pelepasan benih ikan di kawasan Ampangan Jajar, Hulu Besut hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 61,000 benih ikan lampam sungai dan 5,000 benih ikan baung dilepaskan di Sungai Besut, Ampangan Jajar dan Gong Duek.

Muhammad Pehimi berkata sungai yang dilepaskan benih sebelum ini ialah Sungai Besut (Ampangan Jajar), Sungai Pelong, Sungai Terengganu, Sungai Berang, Sungai Marang, Sungai Loh dan Sungai Air Putih di Kemaman.

Tambahnya ekoran usaha kerajaan itu, beliau berharap nelayan dan pemancing tidak melakukan aktiviti haram seperti menggunakan racun tuba dan renjatan elektrik untuk menangkap ikan apabila telah besar.

Mengenai bantuan kepada nelayan darat, beliau berkata sehingga sekarang sejumlah RM857,600 telah diperuntukkan kepada 240 orang nelayan menerusi program bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan sehingga Disember tahun lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *